Nikmat: Bersyukur Atau Mengeluh?
8:01 AM | Author: wardah shauqah
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Alhamdulillah...

Sekali lagi kita semua diberi kesempatan umur yang panjang
dan kesihatan yang agak baik pada hari ini.

Antara nikmat yang diberikan Allah kepada hamba-hambaNya.
Bersyukurlah dengan apa yang dikurniakan kepada kita pada hari ini dan sebelumnya.
Belum tentu kita ada esok untuk mensyukurinya.

Allah telah berfirman bahawa
nikmat yang dikurniakanNya memang tidak terhitung.
Tetapi, kita sebagai hambaNya, adakah kita mensyukuri nikmat-nikmat itu?

"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." - (An-Nahl: 18)

Kita sering mendengar pelbagai keluhan dan kita sendiri mengeluh.

"Bising betullah mesin ni. Cubalah senyap sikit."
"Penat je beli baju ni bulan lepas. Dah tak muat."


Ada sahaja yang kurang bagi kita.
Ada sahaja yang kita hendak rungutkan.
Tidak pernah cukup dengan apa yang kita ada.
Lumrah manusia....
merungut dah tidak berpuas hati dengan apa yang diperolehi.
Tetapi mari kita sama-sama cuba fikirkan
apa yang terjadi dan apa yang ada pada kita:

Kita merungut dengar bunyi bising hari-hari, memang geram, sakit hati.
Itu sebenarnya menandakan kita masih lagi mampu mendengar.

Kita merungut pakaian yang kita pakai sudah ketat, kecik, tidak muat.
Tetapi tidakkah kita bersyukur,
baju itu sudah tidak muat kerana kita sebenaranya cukup makan.

Allah beri rezeki melimpah ruah.
Kita merungut untuk rumah yang kita kena bersihkan,
mop lantai, lap tingkap, sapu rumah dan sebagainya hari-hari.
Tetapi bersyukurlah
kerana itu menandakan kita masih lagi mempunyai tempat tinggal
untuk berlindung dari hujan dan panas.

Kita mengeluh otot-otot kita kejang,
kita sakit-sakit badan buat kerja hari-hari.
Tetapi, itu sebenarnya menandakan
kita masih mempunyai kudrat untuk berkerja kuat mencari rezeki.

Kita merungut untuk kerenah anak-anak yang tidak menetu dirumah.
Kadang-kadang kita rimas.
Tetapi besyukurlah, sekurang-kurangnya mereka berada di rumah,
bukan di jalanan berpeleseran.

Kita mengeluh kerana tempat letak kereta ke lif yang mungkin agak jauh.
Tetapi sebenarnya kita perlu bersyukur
kerana diberi nikmat masih mampu berjalan.

Kita mengeluh untuk timbunan pinggan mangkuk, pakaian yang perlu dicuci.
Tetapi, itu menandakan kita sebenarnya memiliki semua itu untuk digunakan.

Untuk pagi-pagi yang selalu dikejutkan dengan jam loceng,
kita merungut kemalasan.
Tetapi itu menandakan kita sebenarnya diberi kesempatan
untuk mengharungi hari sekali lagi.

Ya Allah, sungguh banyak nikmat yang Kau berikan kepada kami.
Tetapi mungkin kita yang tidak menyedarinya.
Kita yang tidak mensyukurinya.
Kita yang tidak pernah berpuas hati dengan nikmat itu.

"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan, " Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat" - (Ibrahim:7)

Dan sebenarnya, Allah menguji kita dengan pelbagai cara.
Setiap nikmat yang Allah berikan itu juga adalah ujian bagi kita.
Pancaindera, rumah, pakaian, keluarga, kewangan,
mahupun pekerjaan adalah sebahagian nikmat yang kita perolehi seharian.
Ada diantara kita yang sedar dan tahu,tetapi ada juga yang tidak.

“Maka apabila manusia ditimpa bencana dia menyeru Kami, kemudian apabila Kami berikan nikmat Kami kepadanya, dia berkata, "Sesungguhnya aku diberi nikmat ini hanyalah kerana kepintaranku". Sebenarnya, itu adalah ujian, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahuinya” - ( Az-Zumar:49)

Sebagai manusia biasa,
memang lumrah kita sentiasa tidak berpuas hati dengan apa yang kita ada.
Sentiasa merungut dan mengeluh,
sedangkan Allah lebih mengetahui apa yang dirancangNya.
Beryukurlah kita dengan nikmat yang dikurniakan.
Tidak semua nikmat yang kita terima, orang lain juga terima.
Tidak semua nikmat itu akan kita perolehi lagi
dan Allah boleh menarik nikmat itu bila-bila masa sahaja.

Jika tidak dapat apa yang kita suka,
belajarlah menerima apa yang kita dapat,
dan bersyukurlah dengan apa yang kita ada :)
|
This entry was posted on 8:01 AM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 comments: